KPDN rampas 47,540 liter diesel disyaki cuba diseleweng


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 47,540 liter diesel yang dipercayai cuba diseleweng di sebuah premis di Taman Perindustrian Plentong, Masai di Johor Bharu, semalam.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata serbuan pada pukul 8.10 malam tadi dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari KPDN Putrajaya menerusi Op Tiris hasil risikan sejak enam bulan lepas.

Beliau berkata turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mengaku bekerja sebagai pemandu treler.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan beberapa buah lori untuk mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak di sepanjang laluan Lebuh Raya Pasir Gudang, Masai dan Kempas, sebelum minyak itu dihantar ke stor berkenaan untuk dijual semula.

“Sebuah lori tangki, dua buah lori ‘bonded’, sebuah kenderaan pikap dan minyak diesel telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM267,457,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Armizan berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau pun syarikat yang terlibat dalam aktiviti serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk lokasi diedarkan.

“Syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

“Kementerian akan sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa terutamanya di stesen minyak yang terletak berhampiran dengan sempadan negara,” kata beliau. – Bernama, 20 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen