Zambry adakan lawatan rasmi sulung ke Iran


Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Iran hari ini hingga 23 Ogos atas jemputan rakan sejawatnya, Hossein Amirabdollahian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2023.

MENTERI Luar Dr Zambry Abdul Kadir akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Iran hari ini hingga 23 Ogos atas jemputan rakan sejawatnya, Hossein Amirabdollahian.

Semasa lawatan itu Zambry dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas pemimpin Iran dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Hossein bagi menyusul perbincangan yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 5 Julai.

“Kedua-dua menteri dijangka menilai kemajuan kerjasama dua hala sedia ada dan membincangkan langkah untuk meneroka bidang kerjasama baharu.

“Mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Selain itu, Zambry juga dijadual menganjurkan sesi libat urus dengan pemimpin-pemimpin perniagaan tempatan,” menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).

Kenyataan itu berkata, lawatan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke arah meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan semua negara termasuk Iran.

Zambry semasa lawatannya akan diiringi oleh pegawai kanan kerajaan daripada kementeriannya dan delegasi perniagaan.

Iran ialah rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dan sumber import ke-11 terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. Jumlah dagangan pada 2022 ialah RM3.69 bilion (AS$0.83 bilion), meningkat 40.2 peratus berbanding RM2.63 bilion (AS$0.64 bilion) pada 2021. – Bernama, 20 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen