PM Jepun lawat loji kuasa nuklear sebelum putus lepas air radioaktif


Fumio dijadualkan melawat loji kuasa nuklear tersebut 20 Ogos. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2023.

PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida akan melawat loji kuasa nuklear (NPP) Fukushima pada 20 Ogos sebelum memuktamadkan keputusan melepaskan air radioaktif terawat ke laut, lapor Sputnik.

“Isu pelepasan air yang dirawat dalam sistem ALPS (Sistem Pemprosesan Cecair Lanjutan) tidak boleh ditangguhkan. Kita sudah sampai ke peringkat akhir, apabila negara mesti membuat keputusan selepas semakan menyeluruh, termasuk dari sudut membendung kesan yang mungkin pada perikanan,” Kishida memberitahu pemberita selepas sidang kemuncak AS-Jepun-Korea Selatan di Camp David.

Katanya, beliau merancang untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pekerja pengendali RFN, Tokyo Electric Power Company (TEPCO).

“Sebagai orang yang bertanggungjawab bagi pihak kerajaan, saya ingin memastikan semua langkah diambil. Semua yang terlibat bertindak dengan rasa tanggungjawab serius untuk membongkar reaktor dan membina semula (Wilayah Fukushima) serta untuk menyatakan pemikiran saya sendiri secara langsung mengenai perkara ini,” Kishida dipetik oleh NHK.

Menurut NHK yang memetik sumber, anggota Kabinet Jepun akan bermesyuarat untuk membincangkan rancangan pelepasan air pada 22 Ogos.

Awal bulan ini, media melaporkan Jepun merancang untuk melepaskan air terawat ke laut antara akhir Ogos dan awal September.

Bencana nuklear Fukushima berlaku pada 11 Mac 2011.

Loji itu rosak teruk akibat gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter menggegarkan Lautan Pasifik.

Ini mencetuskan tsunami besar yang melanda loji itu.

Kemalangan itu dianggap sebagai bencana nuklear terburuk sejak kemalangan Chernobyl pada 1986 dan mengakibatkan pencemaran tanah dan air secara meluas serta menyebabkan 22,200 orang mati atau hilang. – Bernama, 19 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen