PAS yakin ‘gelombang hijau’ yang menyumbang kepada kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri baru-baru ini akan berkembang ke Johor, pada dua pilihan raya kecil di negeri itu bulan depan.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata ia terbukti selepas gelombang hijau berjaya menembusi beberapa kerusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Kami mendapat sambutan yang sangat baik di Negeri Sembilan dan Selangor yang dikatakan oleh ramai pihak tiada kesan gelombang hijau.
“Tetapi gelombang hijau sudah berlaku (di Selangor dan Negeri Sembilan). Kita harap pengaruhnya akan sampai ke Johor, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan bahawa gelombang hijau tidak akan berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bulan depan dan gabungan pembangkang akan ditolak oleh rakyat Johor.
Aminolhuda berkata, gelombang itu sukar diterima rakyat Johor yang mengutamakan kesederhanaan sehingga menyukarkan PAS bertapak di negeri itu.
Dalam enam pilihan raya negeri minggu lalu, PN memenangi banyak kerusi di kawasan majoriti Melayu menewaskan Umno dalam beberapa pertandingan satu lawan satu.
PN juga menafikan majoriti dua pertiga PH di Selangor buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun.
PN mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala kerjasama PH-BN tidak menimbulkan sebarang kekecewaan di negeri-negeri pantai timur.
Kerusi Pulai dan Simpang Jeram sebelum ini disandang oleh Allahyarham Salahuddin Ayub, yang merupakan timbalan presiden Amanah dan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup. Beliau meninggal dunia pada 23 Julai selepas mengalami pendarahan otak pada usia 61 tahun.
Amanah memilih bekas speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pulai manakala jurutera Nazri Abdul Rahman akan bertanding di DUN Simpang Jeram.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon bagi PRK manakala hari pengundian awal pada 5 September dan hari mengundi pada 9 September. – 19 Ogos, 2023.
Komen