CALON Amanah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman berkata beliau akan meneruskan perancangan Allahyarham Salahuddin Ayub untuk penduduk Simpang Jeram sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di situ.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri berkata ia bagi memastikan perancangan untuk memelihara kebajikan dan meningkatkan sosioekonomi penduduk kawasan berkenaan dapat diteruskan.
“Jika ditakdirkan saya memenangi kerusi di sini pada 9 September nanti, saya akan teruskan perancangan yang direncanakan oleh arwah (Salahuddin Ayub) ketika era beliau. Selain itu, ada juga yang akan ditambah baik semata-mata untuk kesejahteraan penduduk di sini,” katanya.
Sementara itu, Nazri turut berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi Amanah serta gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.
Nazri, 56 yang juga seorang jurutera merupakan graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan kini bertugas di Majlis Perbandaran Muar (MPM).
Awal hari ini, Presiden Amanah mengumumkan Nazri sebagai calon PH untuk kerusi DUN Simpang Jeram manakala bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kaiat sebagai calon PH untuk Parlimen Pulai. – Bernama, 19 Ogos, 2023.
Komen