Asean-BAC harap jalin kerjasama keselamatan makanan dengan Rusia, India


PENGERUSI Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara-Majlis Penasihat Perniagaan (Asean-BAC) 2023 Arsjad Rasjid berharap agar dapat mewujudkan kerjasama keselamatan makanan dengan Rusia dan India pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-55, lapor Agensi Berita Antara.

Beliau menyampaikan harapan itu selepas India dan Rusia baru-baru ini melaksanakan sekatan berkaitan produk makanan mereka, yang boleh mengancam keselamatan makanan global.

“Jika kita bercakap tentang keselamatan makanan, maka kita bercakap tentang survival, tentang manusia. Kita bercakap sebagai Asean, dan perniagaan Asean ini sangat menyokong,” kata Rasjid selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perniagaan Bersama Asean-BAC (JBC) di Semarang pada Jumaat.

Keselamatan makanan adalah isu penting pada masa ini di tengah-tengah ancaman krisis makanan global dan kesan perubahan iklim, katanya.

Justeru, forum AEM diharap dapat menjana kerjasama dengan pelbagai negara demi mencapai keterjaminan makanan global.

“Keutamaan adalah orang ramai. Bagaimanapun, kita mahu pastikan rakyat kita didahulukan. Oleh itu, kita menyokong setiap usaha yang dilakukan untuk menyokong keselamatan makanan,” katanya.

AEM 2023 ke-55 diadakan dari 17 hingga 22 Ogos 2023.

Sementara itu, agenda AEM pada Isnin (21 Ogos) terdiri daripada mesyuarat berasingan dengan Rusia dan India pada forum Rundingan AEM-Rusia ke-12 dan forum Rundingan AEM-India ke-20.

Pada Julai 2023, Kerajaan India secara rasmi melarang eksport beras bukan basmati putih bagi menjamin stok beras domestik dan mengekang kenaikan harga dalam pasaran domestik akibat perubahan iklim.

Pada September tahun lepas, India juga telah mengumumkan larangan eksport beras hancur.

Dalam pada itu, Rusia telah memutuskan untuk menarik diri daripada Inisiatif Bijian Laut Hitam, yang dijangka mengancam keselamatan makanan global.– Bernama, 19 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen