Menteri pengangkutan ziarah keluarga mangsa tragedi pesawat Elmina 


Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bertanya khabar kepada balu salah seorang mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat di bandar Elmina. – Gambar Facebook, 19 Ogos, 2023.

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini menziarahi keluarga salah seorang mangsa tragedi nahas pesawat Elmina di Bandar Baru Salak Tinggi.

Loke berkata, dia mengucapkan takziah kepada keluarga pemandu e-hailing yang maut apabila keretanya kebetulan lalu di kawasan nahas di lebuh raya berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor.

“Nahas tersebut amat tragis dan menyedihkan. Kerajaan akan cuba sebaik mungkin untuk membantu dalam aspek kebajikan keluarga mangsa,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurutnya, wakil syarikat Grab turut hadir bersama dan akan membantu proses tuntutan insurans kepada keluarga mangsa.

Dalam kejadian Khamis lalu, sebuah pesawat Beechcraft 390 terhempas berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, mengorbankan 10 orang, termasuk Exco Pahang Johari Harun.

Nahas itu meragut nyawa enam penumpang dan dua anak kapal selain dua orang awam. – 19 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen