Dua Korea berbincang menjelang sidang kemuncak


Ketua delegasi Korea Utara dan Korea Selatan bersalaman sebelum memulakan rundingan menjelang sidang kemuncak antara Korea bulan depan. – Gambar AFP, 29 Mac, 2018.

PEGAWAI kanan tertinggi Korea Selatan dijadualkan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawat dari Korea Utara hari ini di zon tanpa tentera bagi persediaan menjelang sidang kemuncak antara Korea, beberapa hari selepas Kim Jong-un mengadakan lawatan rasmi ke luar negara kali pertama ke China.

Kim dijadualkan bertemu Presiden Korea Selatan Moon Jae-in bulan depan, disusuli dengan rundingan penting dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mungkin seawal Mei.

Menteri penyatuan Korea Selatan, Cho Myoung-gyun dan ketua delegasinya menghadiri mesyuarat hari ini, berkata agenda utama ialah menetapkan tarikh untuk mengadakan sidang kemuncak kali ketiga antara dua semenanjung Korea itu.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan Korea untuk menjayakan sidang kemuncak antara Korea pada April,” kata Cho kepada wartawan.

Perkembangan baik antara kedua-dua negara itu bermula dengan rundingan ketika penganjuran Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan, selepas setahun keadaan tegang susulan program nuklear dan peluru berpandu Korea utara.

Tiga ahli delegasi daripada kedua-dua Korea akan bertemu di bangunan Unification Pavilion di bahagian utara sempadan gencatan senjata di kampung Panmunjom untuk membincangkan agenda kemuncak bulan depan.

Delegasi Pyongyang diketuai oleh rakan sejawat Cho, Ri Son Gwon, yang juga pengerusi jawatankuasa kedamaian penyatuan Korea Utara. – AFP, 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen