Dobi guna LPG tanpa lesen, 55 tong dirampas


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, menyita 55 tong disyaki berisi gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram (kg) dan 50kg serta dokumen, di sebuah premis perniagaan di kawasan Perindustrian Ringan Bercham di Ipoh, semalam.

Pengarah KPDN Perak Kamalludin Ismail berkata nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM18,713.80.

Beliau berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan 9.30 pagi itu mendapati, premis berkenaan sedang beroperasi dan menjalankan perniagaan dobi mencuci cadar dan tuala daripada hotel.

Katanya seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang mengaku sebagai pembantu premis dan menjalankan operasi perniagaan, turut berada di tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah tong LPG pelbagai jenama berada di dalam sebuah stor simpanan LPG dan digunakan untuk mesin pengeringan pakaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata pembantu premis gagal mengemukakan sebarang lesen Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA) bagi borong atau runcit atau permit barang kawalan berjadual LPG, apabila diminta semasa pemeriksaan dijalankan.

Justeru, beliau berkata satu kesalahan disyaki telah dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana menyimpan barang kawalan LPG di tempat yang tidak dilesenkan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta ini boleh dikenakan penalti,” katanya.

Bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, manakala bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Kamalludin berkata siasatan lanjut turut dijalankan terhadap syarikat pembekal LPG itu, dan tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas pembekal kerana disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Peringatan kepada mana-mana orang atau syarikat yang ingin menjalankan perniagaan yang melibatkan barang kawalan haruslah memohon lesen dari pihak KPDN.

“Pengusaha kedai dobi perlu menggunakan gas LPG jenis komersil (50kg atau 14kg berwarna yang berbeza dengan tong subsidi) dan perlu mempunyai permit atau surat kuasa yang diberikan oleh KPDN bagi menyimpan gas LPG ini untuk kegunaan perniagaan,” katanya. – Bernama, 19 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen