TANGGUNGJAWAB kerajaan adalah melindungi komuniti daripada kebinasaan atau ancaman kebinasaan, bukannya daripada pemikiran dan idea, kata kumpulan peguam Lawyers for Liberty.
LFL mengeluarkan kenyataan itu susulan serbuan dibuat pegawai Kementerian Dalam Negeri terhadap kedai buku Toko Buku Rakyat milik penulis Benz Ali di Wisma Central, Kuala Lumpur, semalam.
Dua buku dirampas dalam serbuan itu walaupun ia tidak termasuk dalam senarai larangan.
“Kami mengingatkan kerajaan yang tugasnya adalah untuk memelihara komuniti daripada kebinasaan sebenar atau ancaman kebinasaan, bukannya pemikiran dan idea yang (haknya) dilindungi Perlembagaan. Pada setiap masa kerajaan perlu dipandu oleh prinsip ini dan bukannya sentimen populis dengan harapan meraih undi mencukupi untuk terus kekal berkuasa.
“Maka kami menggesa kerajaan untuk menghentikan semua tindakan penguatkuasaan terhadap dua buku yang dirampas itu,” kata Pengarah LFL Zaid Malek.
Pegawai kementerian semalam merampas buku bertajuk Marx Sang Pendidik Revolusioner oleh Robin Small dan koleksi puisinya bertajuk Koleksi Puisi Masturbasi.
Menurut laporan, pegawai mengatakan tindakan itu diambil di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
Tambah Zaid lagi, kerajaan perlu menghentikan semua aktiviti penguatkuasaan PPPA dan bertindak segera memansuhkan akta tersebut yang seharusnya tidak boleh wujud di bawah pentadbiran kerajaan perdana menteri “reformasi”.
Beliau turut menekankan yang Putrajaya tidak berhak merampas sebarang penerbitan yang disyaki tidak sesuai tanpa melalui setiap proses yang digariskan di bawah Seksyen 7 (1) PPPA.
Seksyen 7(1) menetapkan yang sebarang arahan oleh menteri untuk mengharamkan penerbitan perlu digazetkan sebelum tindakan perundangan boleh diambil. Kedua-dua buku yang dirampas semalam tidak dilarang di bawah senarai PPPA sedia ada.
“Maka, penguatkuasa kerajaan bertindak secara tidak sah secara undang-undang, perlembagaan dan cuai apabila mereka menyerbu dan merampas buku tersebut dari kedai itu.
“Penguatkuasaan berlebihan ini adalah yang kedua berlaku tahun ini selepas kontroversi serbuan dan rampasan jam didakwa bertema LGBTQ+ di kedai Swatch pada Mei, yang juga berlaku sebelum larangan itu digazetkan,” tambahnya.
Sebelum ini, kementerian berkata ia mengharamkan semua produk Swatch yang mengandungi sebarang unsur LGBTQ sama ada di jam tangan, kotak atau kertas pembungkus.
Sesiapa yang ditangkap memiliki jam tersebut boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit bersalah. – 19 Ogos, 2023.
Komen