Lelaki Kanada mengaku salah bunuh jemaah di masjid Quebec


Alexandre Bissonnette, 28, dibawa ke mahkamah dan berdepan enam tuduhan cubaan membunuh dalam insiden tembakan rambang di masjid di Quebec City, pada Januari tahun lalu. – Gambar AFP, 29 Mac, 2018.

SEORANG lelaki Kanada mengaku bersalah semalam kerana membunuh enam jemaah di masjid Quebec dalam satu insiden tahun lalu yang mengejutkan negara itu.

Serangan pada 29 Januari, 2017 itu turut menyebabkan 30 yang lain cedera, menjadi antara serangan terburuk di tempat ibadat orang Islam di Barat.

Perdana Menteri Justin Trudeau menyifatkan insiden itu sebagai serangan pengganas, tembakan rambang itu satu tamparan hebat kepada masyarakat pelbagai bangsa di Kanada, sedangkan negara itu mengalu-alukan kedatangan ratusan ribu pelarian setiap tahun.

Alexandre Bissonnette, 28, melakukan serangan itu pada satu malam Ahad sesudah selesai solat di pusat budaya Islam di Quebec City, sebuah masjid terletak dalam kejiranan yang senyap dan normal.

Dia pada mulanya mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan bermula selepas dinasihati peguamnya, tetapi kemudian mengubah pengakuan.

“Saya buat keputusan untuk mengaku bersalah atas semua pertuduhan bagi membolehkan keluarga mangsa rasa lega akibat serangan itu,” kata Bissonnette, yang juga berdepan enam tuduhan cubaan membunuh.

Hakim Judge Francois Huot menerima pengakuan salah Bissonnette.

Bissonnette, yang juga pelajar universiti ketika serangan tembakan itu, berdepan hukuman penjara seumur hidup atau 25 tahun. – AFP, 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen