Pakatan umum calon kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram baharu Rabu depan


PH akan menampilkan calon muka baharu pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) akan menampilkan calon muka baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Timbalan Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata kedua-dua calon yang bakal diumumkan pada Rabu depan itu merupakan anak tempatan serta berpendidikan tinggi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat khas tertutup antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Bangunan Umnp Johor di Johor Bahru hari ini.

Aminolhuda yang juga Pengarah Pilihan Raya bagi PRK itu berkata sebelum bermulanya majlis pengumuman calon, satu majlis tahlil untuk penyandang kerusi Allahyarham Salahuddin Ayub akan diadakan yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Menyentuh mengenai mesyuarat khas berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi BN Johor Mohamed Khaled Nordin, beliau berkata perbincangan menjurus kepada memperkasakan lagi kerjasama jentera parti Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kemenangan.

“Kita meletakkan keyakinan kepada rakyat yang keluar mengundi, dibantu dengan kerjasama rakan-rakan kongsi seperti BN untuk kemenangan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos, pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September. – Bernama, 18 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen