Kerajaan perpaduan bersikap diktator, kata Dr Mahathir


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di Yayasan Albukhary di ibu negara hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Ogos, 2023.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menuduh kerajaan perpaduan bersikap diktator dan berat sebelah atas siasatan dihadapinya atas satu tulisan di media sosial.

Beliau mendakwa demikian kerana tiada siasatan dibuat ke atas tiga pegawai 1MDB apabila bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz membuat laporan ke atas individu berkenaan.

“Saya hairan, ada double standard. Bila saya baca dalam surat khabar yang Zeti buat laporan pada peguam negara berkenaan kesalahan tiga pegawai 1MDB, tak polis siasat, tiada apa pun.

“Bagi saya (ambil keterangan) ini ugutan yang menghalang saya bercakap berkenaan masalah dalam negara. Saya bercakap mengikut fakta yang jelas dan tidak menyalahi undang-undang.”

Dr Mahathir turut mendakwa negara kini menjadi negara polis kerana menurutnya kerajaan mengambil tindakan sesuka hati tanpa mengikut lunas undang-undang.

“Kita dapati keadaan dalam negara pelik, seolah-olah tidak lagi mengikut undang-undang, ikut suka hati.

“Polis boleh bertindak walaupun tiada kes. Bagi saya ini diktator. Dia mempunyai sifat yang membuat keputusan sesuka hati,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau disiasat polis berhubung satu kenyataannya di media sosial pada 27 Julai lalu mengenai kedudukan Malaysia sebagai Tanah Melayu.

Bekas presiden Pejuang itu berkata, kenyataan di media sosial itu berlandaskan perlembagaan Malaysia.

“Saya cakap mengikut Perlembagaan Negara yang mana kedudukan Malaysia sebagai Tanah Melayu, bila cakap Tanah Melayu mereka cakap saya rasis,” tambahnya.

Dalam tulisan itu, Dr Mahathir juga menyatakan Malaysia bukanlah sebuah negara berbilang bangsa.

Beliau seterusnya menyatakan kesediaannya untuk menjawab segala soalan sekiranya dituduh di mahkamah atas kenyataannya di media sosial itu. – 18 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen