Ringgit tunjuk tanda kenaikan pada suku ketiga 2023, kata BNM


Ringgit susut 5.8% pada suku kedua 2023 namun meningkat 1.1% dalam tempoh suku ketiga setakat 15 Ogos, kata Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2023.

RINGGIT susut sebanyak 5.8% pada suku kedua 2023 namun meningkat 1.1% dalam tempoh suku ketiga setakat ini (setakat 15 Ogos) berikutan jangkaan yang semakin meningkat pengetatan dasar monetari di Amerika Syarikat (AS) hampir berakhir.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour berkata perkembangan global terus menjadi faktor utama yang mendorong keadaan kewangan domestik pada suku kedua 2023.

“Sentimen pasaran kewangan global terjejas disebabkan oleh kebimbangan berhubung dengan prospek pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan dan pemulihan ekonomi di China yang lebih lemah daripada jangkaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata kebimbangan ini semakin bertambah berikutan kebimbangan terhadap krisis had hutang tertinggi AS dalam tempoh dua bulan pertama suku kedua, bersama-sama dengan jangkaan semasa pasaran kewangan dasar monetari akan terus diperketat di ekonomi maju.

BNM akan terus memantau keadaan kewangan global serta domestik dengan teliti serta memastikan pelarasan pasaran kekal teratur.

Rasheed berkata keberadaan BNM dalam pasaran pertukaran asing adalah untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan menjadi sederhana kepada 3.8% (suku pertama 2023: 4.1%) disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul yang lebih perlahan.

Bagaimanapun, pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 4.9% (suku pertama 2023: 4.4%).

Sementara itu, pinjaman perniagaan terkumpul meningkat 0.7% disebabkan terutama pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman modal kerja kepada syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Namun, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan kekal mampan, dengan mencatatkan pertumbuhan yang stabil bagi pembelian aset tetap dan hartanah bukan kediaman.

Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul berkembang 5.1% didorong terutama oleh pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kereta. – Bernama, 18 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen