Ekonomi Malaysia berkembang 2.9% pada suku kedua 2023


Ekonomi Malaysia berkembang 2.9% pada suku kedua 2023, disokong pasaran buruh yang bertambah baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2023.

EKONOMI Malaysia berkembang 2.9% pada suku kedua 2023, disokong pasaran buruh yang bertambah baik, peningkatan berterusan dalam permintaan domestik dan kegiatan pelancongan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi sederhana pada suku itu sebahagiannya disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan susulan kitaran teknologi global, pengeluaran komoditi lebih rendah dan kesan asas lebih tinggi dari suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan KDNK 8.9%.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.6% pada suku pertama 2023, menjadikan pertumbuhan purata bagi separuh pertama tahun ini pada 4.25%.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour berkata ekonomi Malaysia kekal di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK di antara 4.0 dengan 5.0% tahun ini, dipacu pemulihan berterusan pasaran buruh, pelaksanaan projek pelaburan baharu dan sedia ada serta kegiatan pelancongan meningkat.

Beliau berkata inflasi keseluruhan dijangka pada purara di antara 2.8% dengan 3.8% pada 2023 berikutan peningkatan inflasi teras dan rasionalisasi subsidi secara beransur-ansur.

Kerangka Ekonomi Madani akan memacu penyusunan semula menyeluruh ekonomi Malaysia, katanya pada sidang media hari ini. – Bernama, 18 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen