Pesawat terhempas tiada perakam data, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Serpihan Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam semalam, yang ditemui di lokasi kejadian. Menurut polis, pesawat berkenaan didapati tidak dilengkapi perakam data pesawat. – Gambar AFP, 18 Ogos 2023.

PESAWAT ringan yang terhempas di Bandar Elmina semalam didapati tidak dilengkapi perakam data pesawat, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Menurutnya, operasi pencarian bersama Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) hanya menemui kotak hitam mengandungi perakam suara kokpit pesawat.

Hasil siasatan juga mendapati sesetengah Beechcraft Model 390 (Premier 1) seperti yang terlibat dalam nahas tersebut sememangnya tidak dilengkapi perakam data pesawat.

“Siasatan BSKU pada jam 10 malam tadi mendapati pesawat mempunyai cockpit voice recorder (perakam suara kokpit) sahaja, dia tak ada flight data recorder.

“Bila kita tanya ada separuh (pesawat jenis sama) yang memang tak ada langsung (perakam data pesawat). Jadi pesawat ini ada satu (perakam suara kokpit).

“Itu sudah diambil oleh BSKU untuk siasatan. Memang ditemui pada bangkai pesawat,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di pelantar media sosial.

Menurutnya, identiti pemandu kereta yang terbabit dalam nahas itu juga sudah dikenal pasti sebagai pemandu e-hailing Grab dan tidak membawa penumpang ketika kejadian.

Namun ujian lanjut akan menentukan sama ada terdapat individu lain, katanya.

“Pemandu kereta itu sudah reject penumpang daripada pukul 2 petang, kita sudah semak dengan Grab dan dia memang reject penumpang tersebut. Jadi kita syaki bahawa dia seorang.

“Tetapi human remain nanti bila kita buat DNA nanti baru kita tahu ada terlebih atau tidak, daripada situ unit forensik akan tentukan. Buat masa ini kita anggap dia seorang sahaja,” katanya.

Katanya, polis sedang mendapatkan maklumat berkaitan tragedi tersebut daripada sumber lain termasuk rakaman video daripada kamera papan pemuka milik orang awam.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil dan menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran.

Seorang anggota exco Pahang, Johari Harun antara 10 mangsa yang disahkan maut dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.

Selain Johari lima lagi penumpang ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib.

Dua juruterbang yang maut dikenal pasti sebagai Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Dua lagi mangsa terdiri daripada seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta di kawasan nahas yang masih dikenal pasti. – 18 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen