Operasi nahas pesawat Bandar Elmina hampir selesai, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut polis, operasi di kawasan nahas pesawat di Bandar Elmina sudah 95% selesai dan dijangka ditamatkan dalam masa terdekat. – Gambar EPA, 18 Ogos 2023.

OPERASI polis di kawasan nahas pesawat di Bandar Elmina sudah 95% selesai dan dijangka ditamatkan dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau menjangkakan laluan utama di Persiaran Elmina yang ditutup bagi operasi akan kembali dibuka kepada orang awam hari ini.

“Sehingga pagi ini, kita sudah selesai 95% operasi di lokasi nahas ini dan saya jangka baki 5% juga, kalau boleh diselesaikan hari ini,” katanya kepada pemberita di lokasi nahas.

Kawasan operasi pencarian merangkumi keluasan 11,000 kaki persegi dan polis akan mempercepatkan operasi, katanya.

Katanya, operasi polis menemukan semua jasad mangsa dan juga barangan peribadi.

“Sebanyak 21 barangan peribadi milik mangsa sudah diambil dari lokasi nahas.

“Ia termasuk jam tangan, pen, wang. Serpihan mayat pula dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya.

Katanya, seramai 22 ahli keluarga sudah dimaklumkan untuk hadir membuat pengecaman dan pemadanan DNA.

“Selepas itu, mayat akan diserahkan kepada ahli keluarga untuk proses pengebumian,” katanya.

Seorang anggota exco Pahang Johari Harun antara 10 mangsa yang disahkan maut dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.

Selain Johari lima lagi penumpang ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib.

Dua juruterbang yang maut dikenal pasti sebagai Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Dua lagi mangsa terdiri daripada seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta di kawasan nahas yang masih dikenal pasti. – 18 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen