PARTI United Thai Nation (UTN) yang mendapat sokongan tentera, bersedia menyertai gabungan pimpinan Pheu Thai untuk membentuk kerajaan, menjelang undian memilih perdana menteri minggu depan.
Jurucakap UTN Akaradej Wongpitakroj berkata parti itu bersetuju menyertai Pheu Thai yang memperoleh 141 kerusi, jumlah kedua tertinggi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei.
“Kami bersetuju untuk menyertai gabungan pimpinan Pheu Thai untuk membentuk kerajaan baharu dan memajukan negara,” katanya.
Beliau menafikan parti itu akan diberi ganjaran empat jawatan menteri kerana menyertai gabungan itu.
UTN yang menamakan perdana menteri sementara Prayuth Chan o-cha sebagai calon perdana menterinya pada pilihan raya lepas, memenangi 36 kerusi.
Dengan penyertaan UTN, gabungan itu mempunyai sejumlah 274 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Pheu Thai masih memerlukan sokongan daripada 250 Senator di Dewan Negara kerana calon perdana menteri memerlukan 376 undi di Parlimen dwidewan yang mempunyai 750 ahli untuk membentuk kerajaan.
Pheu Thai dijangka mencalonkan hartawan hartanah Srettha Thavisin sebagai perdana menteri.
Sidang Parlimen dijangkakan bermula pada 18 Ogos atau 22 Ogos. – Bernama, 18 Ogos 2023.
Komen