Umno, MCA tetap mahu tanding di Wangsa Maju


Diyana Ibrahim Ooi Choong Han

Dua parti komponen Barisan Nasional, Umno dan MCA kini dilaporkan berebut kerusi Wangsa Maju dan perebutan itu bakal merenggangkan lagi hubungan antara dua parti utama gabungan pemerintah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

PEREBUTAN kerusi Parlimen Wangsa Maju antara Umno dan MCA masih belum menampakkan penyelesaian memandangkan kedua-dua parti masih tidak berganjak dari tuntutan masing-masing.

Umno Wangsa Maju bertegas bahawa calon parti tersebut harus bertanding dan MCA juga berkeras untuk meletakkan calon mereka.

Menurut Setiausaha Umno Bahagian Wangsa Maju Shamsuddin Hussain, perkara tersebut akan dibawa dalam satu majlis bersama dengan Ketua Umno Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Buat ini masa kita tidak akan buat sebarang kenyataan sehingga ada perbincangan dengan Ketua dan Setiausaha Umno.

“Jadi sebarang keputusan kita tunggu selepas perbincangan tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditanya mengenai penyelesaian ke atas isu tersebut.

Kedua-dua parti itu mahu meletakkan calon mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) di kawasan dengan 67,775 pengundi itu.

MCA sebelum ini telah beberapa kali menuntut agar Umno memulangkan kembali “kerusi tradisi” yang didakwa hanyalah dipinjamkan itu.

Konflik itu memuncak minggu ini apabila penulis blog Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris mengugut Presiden MCA Liow Tiong Lai secara terbuka di laman sosial untuk tidak merebut kerusi Wangsa Maju.

Bekas calon dan juga Ketua Bahagian Umno Wangsa Maju Shafei Abdullah juga menolak kenyataan MCA kononnya kawasan itu merupakan kerusi tradisi seperti dipetik sebuah portal berita dalam talian.

Umno Wangsa Maju yakin mereka boleh menang di kerusi campuran dengan majoriti pengundi Melayu sebanyak 53% itu. Pengundi lain di kawasan itu terdiri dari Cina (36%), India (9%) dan lain-lain (2%).

MCA di bawah pimpinan Liow Tiong Lai kini berdepan tekanan untuk membuktikan mereka masih boleh menarik undi pengundi Cina, dan kerusi Wangsa Maju dakwa mereka adalah kerusi tradisi yang dipinjamkan kepada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

MCA berdepan tekanan

Liow ketika ditemui The Malaysian Insight di sebuah majlis di Raub, Pahang menegaskan bahawa kerusi Wangsa Maju tetap milik MCA dan Umno perlu memulangkan semula kerusi yang dipinjam.

Naib Presiden Chew Mei Fun pula mengakui prestasi MCA tidak cemerlang menyebabkan presidennya berdepan tekanan mendapatkan semula kerusi yang dipinjam walau hakikatnya Umno juga kalah di kawasan Parlimen tersebut pada pilihan raya lalu.

“Kami meminjamkan beberapa kerusi MCA pada pilihan raya lalu. Jika prestasi kami bagus, sudah pasti kami dapat semula kerusi yang kami pinjamkan yang mereka juga kalah.

“Tetapi pencapaian kami tidak begitu bagus dan ini menyebabkan presiden MCA kini ditekan,” katanya.

Chew berkata sejak kekalahan besar MCA pada Pilihan Raya 2008, parti komponen itu kini perlu meletakkan calon di sebanyak mungkin kerusi.

Lebih-lagi kerana jumlah pengundi Cina di sebuah kawasan Parlimen kini berkurangan daripada majoriti kepada minoriti.

“Kerana situasi itu menyebabkan MCA berada dalam tekanan daripada akar umbi komponen parti lain kerana semua pihak mahu mengambil peluang bertanding di kerusi.”

MCA mengalami kekalahan lebih teruk dalam PRU13 dengan hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri, selepas kehilangan banyak kerusi dalam PRU12.

Chew berkata, tidak adil bagi Umno untuk menyalahkan MCA atas kekalahan tersebut dan menggesa agar kerusi itu dikembalikan.

“Saya kira sukar untuk kita justifikasi siapa sebenarnya yang cuba kacau kerusi tersebut. Jadi tidak perlu guna ayat tersebut,” katanya merujuk kepada amaran penulis blog dan Umno Bahagian Wangsa Maju.

“Macam mana pun MCA (perlu) bertanding di kerusi milik MCA. Itu amat logik. Kamu tidak boleh menyalahkan MCA atas situasi sedia ada ini.”

Wangsa Maju adalah kerusi majoriti 53% Melayu. MCA hanya kalah dengan beza undi 150 pada PRU2008 berbanding Umno yang kalah dengan lebh 5,000 undi pada 2013. Kedua-duanya kalah kepada PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

MCA yakin mampu rampas kembali 

Meski berdepan dengan tekanan berhubung soal prestasi, MCA yakin mereka dapat merampas kembali kerusi Wangsa Maju dalam PRU14.

Katanya keyakinan itu berdasarkan maklum balas positif penduduk di kawasan Parlimen itu serta gerak kerja bekas ahli Parlimen mereka yang bergiat aktif sejak kekalahan MCA pada PRU12.

“Reaksi yang kita dapat dari akar umbi sana ialah jika MCA yang bertanding kerusi Wangsa Maju pada PRU13 kita boleh menang sebenarnya,” kata Chew.

Terdahulu pada 2004, kerusi itu dimenangi calon MCA, Yew Teong Look dengan majoriti lebih 10,000 undi.

Dalam Pilihan Raya 2008, Yew tewas kepada PKR dengan undi majoriti hanya 150 undi. Umno mengambil alih dengan meletakkan calon parti itu pada 2013 susulan kekalahan MCA itu.

Namun calon Umno, Shafei Abdullah juga gagal merampas kerusi, yang dimenangi PKR dengan majoriti lebih besar, 5,511.

“Sudah tentu (kemenangan) sukar dijangka tapi keyakinan itu ada. Kerana pada PRU12, kekalahan Yew sebenarnya tidak begitu besar.

“Beliau sehingga kini masih terus berkhidmat pada penduduk di sana,” kata Chew yang menambah rundingan untuk kerusi tersebut dilakukan antara presiden MCA dan Umno.

Umno lebih rela kerusi Melayu jatuh ke tangan PAS, berbanding PKR atau Amanah, kata Prof Dr Ahmad Atory Hussain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

Parti Melayu akan menang

Menurut penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain mana-mana parti Melayu akan mempunyai peluang untuk menang di kerusi yang mempunyai majoriti kaum tersebut.

Katanya Umno sebenarnya tidak yakin MCA boleh menang di kerusi tersebut kerana undi tersebut boleh beralih kepada Pakatan Harapan (PH).

“Umno sebenarnya nak tempat sebab mereka tak yakin dengan MCA kerana segi komposisi pengundi Melayu lebih.

“Jadi BN tidak yakin kerana mereka lihat kalau letak calon MCA undi itu akan beralih kepada PH,” katanya.

Beliau berkata situasi tersebut tidak hanya berlaku di Wangsa Maju namun di beberapa kerusi lagi seperti Bandar Tun Razak.

“Kalau ikut rekod MCA ini, daripada 35 kerusi yang mereka tanding dalam pilihan raya lalu, 10 kerusi semua dimenangi kawasan majoriti Melayu lebih 50% seperti di Alor Gajah, Bentong, Tanjung Piai dan Tanjung Malim,” katanya.

Dalam erti kata lain MCA sebenarnya banyak bergantung kepada kerusi Melayu untuk menang, jelas Atory lagi.

Katanya jika berlaku pertarungan tiga penjuru di Wangsa Maju pula, di atas kertas, Umno mempunyai kelebihan untuk menang di kerusi tersebut.

“Kalau atas kertasnya Umno boleh menang di kerusi Wangsa Maju jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Kebanyakan Melayu mungkin akan mengundi antara Umno dan PAS, dan Umno pula tidak kisah jika PAS menang asalkan bukan Amanah atau PKR.” – 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen