Panel 9 hakim dengar permohonan isytihar 20 kesalahan jenayah syariah tidak berperlembagaan


Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar cabaran undang-undang yang mahu mahkamah mengisytiharkan 20 kesalahan jenayah syariah tidak berperlembagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2023.

PANEL sembilan hakim Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar cabaran undang-undang yang dikemukakan seorang peguam dan anak perempuannya yang mahu mahkamah mengisytiharkan 20 kesalahan jenayah syariah digubal badan perundangan negeri Kelantan sebagai tidak berperlembagaan.

Kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dicabar oleh Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman adalah kesalahan tuntutan palsu, tindakan memusnahkan dan mencemarkan tempat ibadat, menjual atau memberi anak kepada bukan Islam atau seorang Muslim yang tidak bermoral, persetubuhan dengan mayat, liwat, gangguan seksual, memiliki dokumen palsu, memberi keterangan palsu, mengambil apa-apa yang memabukkan, berjudi, mengurangkan timbangan, sukatan dan berat dalam transaksi jual beli.

Kesalahan lain melibatkan urus niaga yang bertentangan dengan hukum syarak dan urus niaga melalui riba, penyalahgunaan label halal dan konotasi halal, menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat, perbuatan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat, perbuatan khianat, perbuatan sumbang mahram dan muncikari (orang tengah yang bertindak dalam aktiviti maksiat).

Pada prosiding hari ini peguam pempetisyen Malik Imtiaz Sarwar berhujah badan perundangan negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi kesalahan tersebut kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Beliau berkata badan perundangan negeri Kelantan tidak boleh membuat kesalahan jenayah syariah dalam subjek yang berada di bawah definisi kebimbangan awam berkaitan keamanan, ketenteraman, keselamatan, moral, kesihatan kerana ia adalah kesalahan yang termasuk di bawah “undang-undang jenayah” yang di bawah kuasa membuat undang-undang kerajaan Persekutuan.

“Kuasa Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk menggubal kesalahan terhadap ajaran Islam hanya terhad kepada aspek agama,” kata Malik dalam hujahnya.

Pada awal prosiding, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata mahkamah bersetuju dengan Malik bahawa kes itu tidak ada kaitan dengan doktrin Islam tetapi lebih kepada tafsiran perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak ada niat di pihak pempetisyen (Nik Elin dan Nastasha) atau mahkamah untuk menjejaskan kedudukan agama Islam,” katanya.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) untuk mencelah dalam kes itu.

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli dan hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Mahkamah juga mendengar hujah daripada peguam Kamaruzaman Muhamad Arif yang mewakili kerajaan Kelantan yang menegaskan undang-undang syariah juga boleh seiring dengan undang-undang sekular.

Beliau berkata peruntukan yang dicabar oleh peguam dan anak perempuannya adalah berperlembagaan dan dikuatkuasakan secara sah.

Beliau meminta mahkamah merujuk semula kes Iki Putra Mubarrak kerana beliau berhujah Mahkamah Persekutuan terkhilaf mengenai perkara itu.

Sementara itu peguam Yusfarizal Yusoff yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memberitahu mahkamah pempetisyen tidak mempunyai locus standi (kedudukan undang-undang) untuk membawa cabaran itu kerana mereka tidak pernah dikenakan dengan sebarang tindakan undang-undang di bawah enakmen berkenaan, oleh itu cabaran mengenai perlembagaan undang-undang itu adalah pramatang.

Pempetisyen mendapat kebenaran Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat (telah bersara) untuk memulakan cabaran perlembagaan itu pada 30 September tahun lepas. Mereka menamakan kerajaan Kelantan sebagai responden dalam pestisyen itu.

Hakim Tengku Maimun kemudiannya menangguhkan pendengaran kes itu yang akan ditetapkan kemudian.

Sister in Islam, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dibenarkan masuk sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) manakala beberapa peguam bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili Maidam, Persatuan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Peguam Islam, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Perak, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Sabah dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. – Bernama, 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen