PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merombak lagi Kabinetnya semalam, memecat Setiausaha Hal Ehwal Veteran (VA), David Shulkin selepas dikritik hebat dan menamakan doktor peribadinya, Laksamana Muda Ronny Jackson sebagai pengganti.
“Sukacitanya saya mengumumkan untuk menamakan Laksamana Muda Ronny Jackson sebagai setiausaha hal ehwal veteran yang baharu,” kata Trump yang turut menggantikan setiausaha negara dan penasihat keselamatan negara, bulan lalu.
“Saya menghargai perkhidmatan David Shulkin kepada negara kita dan semua veteran tentera,” katanya di Twitter.
Pegawai rasmi Pentagon Robert Wilkie akan berkhidmat sebagai ketua jabatan itu secara interim sehingga Jackson mendapat kelulusan kongres, kata presiden.
Pemecatan Shulkin sudah dijangka selepas beliau dituduh membelanjakan AS$122,000 selama sembilan hari bercuti ke Eropah dengan isterinya, yang termasuk program bersiar-siar di istana dan mengambil bahagian dalam perlawanan tenis profesional.
Beliau salah seorang daripada beberapa pegawai kanan dalam pentadbiran Trump yang juga berkhidmat ketika zaman Barack Obama.
Jackson rapat dengan Trump selepas beliau pada Januari mengumumkan bahawa presiden berusia 71 tahun itu dalam keadaan kesihatan yang cemerlang. – AFP, 29 Mac, 2018.
Komen