Fadhlina nafi kerajaan tidak tunai janji bangunkan sekolah daif di Sarawak


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata segala usaha membangunkan bangunan baharu sekolah daif sedang dan masih diusahakan oleh KPM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2023.

MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini menafikan dakwaan Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Sarawak Dr Juanda Jaya bahawa Kerajaan Persekutuan tidak menunaikan janji untuk membina bangunan baharu bagi sekolah daif di negeri itu.

Beliau berkata segala usaha ke arah merealisasikan perkara itu sedang dan masih diusahakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk mengadakan pertemuan dengan pimpinan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kita dah ada banyak pertemuan malah saya sendiri akan ada lagi pertemuan dengan Menteri (Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah Wee Inn) dan juga timbalannya.

“Ini untuk pastikan semua kemajuan projek dan kerja-kerja melibatkan sekolah daif di Sarawak dilaksanakan mengikut jadual,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penutupan program Eksplorasi Merdeka@Muzium di Muzium Negara di Kuala Lumpur.

Fadhlina berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan Juanda berkenaan perkara itu seperti dilaporkan media Sarawak pada Selasa.

Juanda yang juga Adun Jemoreng dilaporkan berkata Sarawak masih menagih janji Kerajaan Persekutuan untuk membina bangunan baharu bagi sekolah daif di negeri itu termasuk tiga yang amat daif di kawasannya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pergau, SK Bawang Tian dan SK Sok. – Bernama, 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen