SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini mengangkat sumpah sebagai pemangku yang dipertua negeri Sarawak berkuat kuasa semalam hingga 17 September ini.
Pelantikan itu bagi mengisi jawatan berkenaan ketika Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud kini sedang menjalani fasa pemulihan di luar negara.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan diadakan di Astana Negeri Sarawak dan disaksikan Premier Sarawak Abang Johari Openg serta Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Dr Alwi Abdul Wahab.
Pada istiadat itu, Abang Johari turut membacakan surat cara pelantikan pemangku yang dipertua Negeri Sarawak daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Asfia, 75, yang memegang jawatan speaker DUN Sarawak sejak 2000, sebelum ini pernah dilantik sebagai pemangku yang dipertua pada 1 Disember, 2019 hingga 11 Januari, 2020.
Pada 3 Ogos lepas, Astana Negeri Sarawak meminta orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan berita dan spekulasi mengenai keadaan kesihatan Abdul Taib.
Setiausaha Sulit kepada yang Dipertua Negeri Junih Salleh Ahmad dalam satu kenyataan berkata keadaan Abdul Taib semakin pulih dan beliau kini sedang menjalani fasa pemulihan di luar negara dan akan kembali tidak lama lagi. – Bernama, 17 Ogos, 2023.
Komen