10 maut dalam nahas pesawat, kata polis


Gambar dan video yang tersebar di media sosial petang ini menunjukkan asap tebal dan kesan terbakar di sekitar jalan berkenaan. – Gambar Facebook, 17 Ogos 2023.

POLIS mengesahkan 10 orang terbunuh selepas sebuah pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Guthrie dekat Bandar Elmina petang tadi.

Ketua Polis Selangor Pesuruhjaya Hussein Omar Khan berkata kesemua mangsa adalah lelaki warga tempatan.

Beliau berkata 10 orang itu ialah lapan penumpang dan anak kapal pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) manakala dua lagi pengguna di Lebuhraya Guthrie.

Hussein berkata penerbangan dari Langkawi itu diberi kebenaran oleh menara kawalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah untuk mendarat pada pukul 2.40 petang.

“Tetapi pesawat itu terhempas kira-kira dua minit sebelum dijangka mendarat di Subang.

“Ia merempuh sebuah kereta dengan seorang penumpang dan seorang penunggang motosikal,” kata Hussein kepada pemberita di lokasi kemalangan.

Hussein berkata buat masa ini polis percaya 10 orang maut dalam kejadian itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran akibat nahas itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berada di tempat kejadian kemudiannya baginda diberi taklimat mengenai situasi terkini oleh Husein.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata tiada panggilan kecemasan dibuat pesawat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Norazman Mahmud berkata pesawat itu dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

“Panggilan pertama dibuat pesawat itu dengan Menara Kawalan Udara Subang adalah pada 2.47 petang dan kebenaran mendarat diberikan pada jam 2.48 petang.

“Bagaimanapun, pada jam 2.51 petang Menara Kawalan Udara melihat kepulan asap dari lokasi terhempas dan tiada panggilan “Mayday” diterima daripada pesawat itu,” kata Norazman dalam satu kenyataan. – 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen