SEORANG hakim Brazil semalam mengarahkan Facebook memadamkan semua berita palsu tentang aktivis hak penduduk kulit hitam Marielle Franco yang mati dibunuh.
Hakim Jorge Jansen Counago Novelle di Rio de Janeiro memberikan gergasi media sosial itu tempoh 24 jam untuk membuang semua “penerbitan maklumat salah dengan kandungan jenayah tentang ahli majlis wanita Marielle Franco,” kata mahkamah dalan satu kenyataan.
Facebook dalam satu kenyataan mengatakan ia akan mematuhi arahan itu dan “membuang semua kandungan URL yang disebut dalam kes itu.”
Franco dibunuh pada 14 Mac lalu dan serta merta diangkat menjadi contoh wanita kulit hitam unggul yang memecahkan halangan apabila terpilih sebagai ahli majlis di Rio yang didominasi kaum kulit putih. Beliau memperjuangkan isu keganasan polis di kejiranan miskin ibu kota itu.
Dua minggu selepas dibunuh, polis mengumumkan tidak banyak perkembangan dalam siasatan kes.
Naratif palsu muncul dalam talian menuduhnya berkahwin dengan seorang tokan dadah dan menerima wang jenayah untuk kempen pilihan raya. Dakwaan itu, ada yang dibuat oleh hakim lain sudah dinafikan.
Hakim Novelle menulis yang keputusannya menyasarkan “propaganda jenayah seperti fitnah terhadap si mati, dan kebencian serta prejudis gender dan kaum terhadap seseorang yang sudah tidak dapat membela dirinya.” – AFP, 29 Mac, 2018.
Komen