Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang berpotensi sebagai produk pelancongan, kata Loke


Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang berpotensi menjadi produk pelancongan dengan mewujudkan perkhidmatan pelayaran feri sewaan seperti dilakukan negara jiran Thailand. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2023.

PERKHIDMATAN feri baharu di Pulau Pinang berpotensi menjadi produk pelancongan dengan mewujudkan perkhidmatan pelayaran feri sewaan seperti dilakukan negara jiran Thailand, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata mengikut kadar permintaan sekarang, kapasiti feri berkenaan lebih daripada mencukupi dengan cuma tiga feri diperlukan untuk operasi harian manakala sebuah lagi feri boleh digunakan sebagai produk pelancongan.

Katanya pengendali feri iaitu Penang Port Sdn Bhd juga ada perancangan untuk menyewakan feri berkenaan kepada pihak yang berminat membuat majlis persendirian atau ejen pelancongan yang mahu membawa kumpulan pelancong.

“Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak. Kementerian melalui Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mengambil pendekatan fleksibel dan membenarkan feri itu digunakan untuk tujuan pelancongan, cuma pihak pengendali perlu memastikan aspek keselamatan penumpang terjamin,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Feri Baharu Pulau Pinang oleh Yang Dipertua Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak dan hadir sama Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Selain itu Loke turut mengalu-alukan jika ada pihak swasta yang berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan menghidupkan semula feri lama di negeri itu untuk dijadikan produk pelancongan.

Katanya pada minggu pertama perkhidmatan feri baharu itu dilaksanakan iaitu minggu lepas, ia merekodkan hampir 50,000 penumpang dua hala.

“Perkhidmatan feri baharu ini akan membantu merapatkan jurang fizikal antara pulau dan Seberang Perai dan kerajaan juga komited dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta menambah baik kesejahteraan penduduk di Pulau Pinang dan seluruh negara,” katanya. – Bernama, 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen