Ecuador tingkat kawalan keselamatan hadapi pilihan raya awal


Ecuador ketatkan kawalan keselamatan menjelang pilihan raya umum awal yang dijadualkan pada 20 Ogos. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2023.

ECUADOR mengetatkan kawalan keselamatan menjelang pilihan raya umum awal Ecuador yang dijadualkan pada 20 Ogos, dengan lebih 100,000 pegawai, termasuk polis, tentera dan kakitangan teknikal telah dikerahkan, lapor Xinhua memetik Menteri Dalam Negeri Juan Zapata.

“Keutamaan negara adalah untuk memastikan hak rakyat untuk keluar mengundi,” katanya pada sidang media bersama pihak berkuasa Polis Negara dan Majlis Pilihan Raya Kebangsaan.

Tiga pos perintah akan memantau kawasan pengundian dan perwakilan pilihan raya wilayah.

Sementara itu, Presiden Majlis Pilihan Raya Diana Atamaint menegaskan walaupun berlaku keganasan semasa kempen pilihan raya, termasuk pembunuhan calon presiden Fernando Villavicencio pada 9 Ogos lalu, pihak berkuasa berusaha memastikan keselamatan pengundi dan melindungi hak semua untuk keluar mengundi.

“Langkah kontingensi serta pencegahan disediakan untuk memastikan keselamatan dan pilihan raya berjalan lancar supaya rakyat dapat keluar beramai-ramai untuk mengundi,” katanya.

Presiden Guillermo Lasso juga memberi kuasa kepada Angkatan Tentera untuk memulakan kawalan di kawasan bermula 9 malam waktu tempatan semalam. – Bernama, 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen