Naib presiden Taiwan tiba di San Francisco


Naib Presiden Taiwan dan calon presiden Lai Ching-te dilaporkan transit di San Francisco di AS hari ini, walaupun Beijing mengecam tindakan itu. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2023.

NAIB Presiden Taiwan dan calon presiden Lai Ching-te dilaporkan transit di San Francisco di Amerika Syarikat (AS) pada hari ini, walaupun Beijing mengecam tindakan itu.

Ketibaan Lai disambut Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara AS untuk China dan Taiwan, Laura Rosenberger, dan wakil Taiwan ke AS, Hsiao Bi-khim.

“Teruja dapat kembali ke #SanFrancisco dan tidak sabar untuk bertmeu rakan-rakan kami di #BayArea. Terima kasih [Rosenberger] & [Hsiao] kerana menyambut saya di lapangan terbang,” kata Lai di X (Twitter), lapor Sputnik.

Lai dalam perjalanan pulang dari Paraguay selepas menghadiri majlis pelantikan Presiden Santiago Pena.

China menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap lawatan transit dan mengecam lawatan Lai ke negara itu.

Pada April, Parti Progresif Demokratik Taiwan secara rasmi mencalonkan Lai yang juga pengerusi parti ini sebagai calonnya untuk pilihan raya presiden 2024.

Penyandang Presiden Taiwan Tsai Ing-wen tidak layak bertanding semula memandangkan beliau telah berkhidmat dua penggal berturut-turut sebagai presiden.

Beijing menentang sebarang hubungan rasmi negara asing dengan Taipei dan menganggap kedaulatan China ke atas pulau itu tidak boleh dipertikaikan.

Taiwan pada masa ini hanya mempunyai beberapa sekutu diplomatik rasmi, termasuk Paraguay. – Bernama, 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen