Angka kematian kebakaran di Hawaii cecah 110 orang


Kebakaran hutan Maui merupakan kebakaran yang meragut nyawa terbesar dalam sejarah moden Amerika Syarikat, mengatasi kebakaran Camp Fire California yang mengorbankan 85 orang pada 2018. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2023.

ANGKA kematian akibat kebakaran hutan Maui di Hawaii Amerika Syarikat (AS) mencecah 110 orang pada Rabu, kata Gabenor Hawaii Josh Green.

Kebakaran hutan yang memusnahkan bandar bersejarah Lahaina di Maui itu mencatat angka kematian tertinggi dalam tempoh lebih seabad dalam sejarah moden AS.

Sehingga ini, kira-kira 38% daripada kawasan yang terbakar diperiksa, lapor Xinhua memetik sidang media Green.

“Setiap hari kami terpaksa melaporkan mengenai orang yang tersayang disahkan mati atau hilang,” kata gabenor itu.

Beliau berkata kira-kira 2,000 pengguna masih belum mendapat bekalan elektrik di kawasan terjejas di pulau itu.

Sementara itu, Ketua Polis Maui John Pelletier pada Selasa berkata kerja-kerja memeriksa kawasan kebakaran boleh mencecah 85 hingga 90% menjelang hujung minggu.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, White House berkata Presiden Joe Biden akan melawat Maui pada Isnin untuk bertemu anggota penyelamat, mangsa yang terselamat serta pegawai persekutuan, negeri dan tempatan.

“Saya tetap komited untuk memenuhi keperluan rakyat Hawaii supaya mereka dapat kembali pulih daripada bencana ini,” kata Biden di X (Twitter). – Bernama, 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen