Anwar nasihat Muhyiddin fokus kes mahkamah


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak perlu berundur kerana kerajaan perpaduan masih mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menolak desakan  Muhyiddin Yassin agar beliau meletakkan jawatan susulan prestasi lemah Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam pilihan raya negeri pada Sabtu lalu.

Sebaliknya beliau memberitahu pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu agar memberi tumpuan kepada kes mahkamahnya yang sedang berjalan.

“Dia buat perkiraan apa? Kita kekal kemenangan (di) tiga (negeri), kita masih dapat majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

“Saya nasihatkan dia tumpu kes di mahkamah,” kata pengerusi PH itu kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Susulan keputusan pilihan raya enam negeri, Muhyiddin menggesa Anwar dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi berundur.

Muhyiddin mendakwa keputusan itu adalah “referendum” terhadap prestasi kerajaan perpaduan memandangkan ia mengambil alih kuasa Persekutuan.

Pada pilihan raya Sabtu lalu, PH berjaya mengekalkan tiga negara – Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sementara PN terus berkuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PN berjaya menembusi tiga negeri PH tetapi gabungan itu menyapu bersih di Terengganu dan berjaya memenangi dua kerusi di Kedah dan Kelantan.

Bekas perdana menteri itu berkata PN memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN, atau 60% daripada kerusi. 

Sebaliknya, Umno kalah kira-kira 82% daripada kerusi yang ditandinginya, yang katanya “menunjukkan ia tidak lagi relevan”.

Walaupun Muhyiddin dibebaskan daripada empat pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, presiden Bersatu itu mempunyai baki tiga pertuduhan jenayah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram yang sedang menunggu di Mahkamah Sesyen.

Pertuduhan ditolak oleh Mahkamah Tinggi adalah kerana menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu bagi meminta rasuah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 8 dan 25 Februari 2021.

Empat pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, atau denda lima kali ganda nilai wang yang diminta, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan menerima dana RM195 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 dan 8 Februari hingga 8 Julai tahun lepas.

Peguam negara merayu keputusan itu. – 17 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen