Pentagon sahkan pemimpin kanan al-Qaeda terbunuh dalam serangan di Libya


Serangan pada 24 Mac berhampiran Ubari di selatan Libya itu membunuh dua pengganas Al-Qaeda, termasuk Musa Abu Dawud, seorang pemimpin tinggi al-Qaeda dalam pertubuhan Lands of the Islamic Maghreb (Aqim), kata Pusat Arahan Tentera AS di Afrika dalam satu kenyataan. – Gambar AFP, 29 Mac, 2018.

SEORANG pemimpin kanan al-Qaeda dan seorang lagi pengganas terbunuh dalam serangan udara AS di Libya, Pentagon mengesahkan perkara itu semalam.

Serangan pada 24 Mac berhampiran Ubari di selatan Libya itu membunuh “dua pengganas Al-Qaeda, termasuk Musa Abu Dawud, seorang pemimpin tinggi al-Qaeda dalam pertubuhan Lands of the Islamic Maghreb (Aqim),” kata Pusat Arahan Tentera AS di Afrika dalam satu kenyataan.

Pegawai mengatakan serangan itu, yang kedua dilakukan AS tahun ini dan pertama menyasarkan Aqim dilancarkan dengan kerjasama kerajaan Perdana Menteri Fayez al-Sarraj yang disokong PBB.

Dalam kes di Somalia, Pentagon mempunyai kuasa untuk melancarkan serangan pesawat pejuang dan dron di Libya dengan syarat menerima sokongan kerajaan tempatan.

“Dawud melatih rekruit Aqim di Libya untuk serangan di rantau itu,” kata kenyataan Africom itu.

“Dia menyediakan sokongan logistik utama, pembiayaan dan senjata kepada Aqim, membolehkan kumpulan pengganas itu untuk mengancam dan menyerang kepentingan AS dan negara barat di rantau itu.”

Jabatan Negara AS mengatakan Dawud dimasukkan dalam senarai pengganas global dihendaki pada 2016.

Dia mula terlibat dalam keganasan seawal 1992, kata Jabatan Negara AS.

“Selaku pemimpin kanan Aqim, Dawud bertanggungjawab untuk pelbagai serangan pengganas termasuklah serangan pada 4-5 Februari 2013 ke atas kem tentera di Khenchela, Algeria yang menyebabkan kecederaan dan serangan pada Julai 2013 ke atas tentera Tunisia di Gunung Chaambi yang membunuh sembilan tentera,” kata kenyataan itu lagi.

Libya terheret dalam kekecohan selepas pemberontakan yang disokong Nato menyebabkan kejatuhan dan kematian diktator Moamer Kadhafi pada 2011.

Pengganas dan penjenayah mengambil kesempatan untuk bertapak di negara itu. – AFP, 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen