Indonesia akan manfaatkan kelebihan demografi, kepercayaan global, kata Jokowi 


Presiden Indonesia Joko Widodo yakin negara itu boleh berkembang menjadi antara lima ekonomi terbesar dunia menjelang 2045.– Gambar EPA, 16 Ogos, 2023.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo berkata negara itu boleh berkembang menjadi antara lima ekonomi terbesar dunia menjelang 2045 dengan memanfaatkan kelebihan demografi dan kepercayaan antarabangsanya.

“Kita perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin. Jika kita terlepas, ia boleh menjadi satu kerugian besar kerana tidak semua negara mempunyai peluang ini, dan ia mungkin tidak akan datang lagi,” katanya dalam ucapan tahunannya ketika Perhimpunan Perundingan Rakyat dan Parlimen di Jakarta hari ini.

Pemimpin yang mesra dipanggil Jokowi itu berkata faktor demografi yang memuncak pada 2030-an, di mana 68% penduduk bekerja, merupakan faktor utama dalam meningkatkan produktiviti negara.

Beliau menekankan kepentingan negara-negara lain mempercayai Indonesia dalam hubungan global, menyatakan bahawa ia meningkatkan kredibiliti dan rasa hormat, serta membawa kepada suara global yang lebih kukuh dan rundingan yang lebih mudah.

Peranan Indonesia dalam organisasi seperti G20 dan Asean, komitmennya terhadap hak asasi manusia, dan kejayaannya dalam menangani cabaran global telah meningkatkan kedudukan globalnya, katanya.

Jokowi menekankan bahawa negara sedang giat membangunkan sektor ekonomi baharu bagi mewujudkan peluang pekerjaan terutama dalam ekonomi hijau dan industri hiliran.

Menjelang pilihan raya presiden yang akan datang pada Februari 2024, beliau menekankan: “Masa depan Indonesia banyak bergantung kepada kepimpinan baharu.”

Pemimpin itu juga menjelaskan bahawa beliau tidak mengetuai mana-mana parti politik atau gabungan, oleh itu beliau tidak dapat mengawal pemilihan calon presiden dan naib presiden.

Menyentuh mengenai kempen politik di media sosial, Jokowi menyuarakan rasa dukacita terhadap “pencemaran budaya” akibat kemerosotan kesantunan sosial dan nilai moral.

Beliau menegaskan perlunya semua pihak bersatu dalam memelihara moral masyarakat dan menyokong kemajuan negara. – Bernama, 16 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen