MAJLIS Keselamatan PBB semalam mengecam “sekeras-kerasnya” serangan roket dilancarkan pemberontak Huthi di Yaman ke atas Arab Saudi, mengatakan ia mengancam keselamatan rantau itu.
Pihak berkuasa Arab Saudi pada Ahad lalu berjaya memintas tujuh peluru berpandu dilancarkan pemberontak Huthi di Yaman yang disokong Iran ke atas bandar Arab Saudi, termasuk Riyadh yang menyebabkan seorang terbunuh.
Ahli majlis “meluahkan kebimbangan terhadap niat Huthi yang terus melancarkan serangan terhadap Arab Saudi, serta serangan lain ke atas negara lain di rantau itu,” kata kenyataan majlis.
Majlis juga menggesa dialog diadakan untuk mencapai perjanjian damai bagi menghentikan perang di Yaman yang sudah masuk tahun ketiga.
Pasukan ketenteraan diketuai Arab Saudi menyerbu masuk Yaman pada 2015 untuk menghapuskan pemberontak Huthi yang menakluk ibu kota negara itu, Sanaa memaksa kerajaan dipilih rakyat melarikan diri.
Kenyatan majlis itu dikeluarkan selepas mesyuarat antara Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman yang menyerahkan cek berjumlah AS$930 juta untuk bantuan kemanusiaan PBB di Yaman.
Guterres berterima kasih kepada bantuan itu tetapi menekankan yang penyelesaian politik diperlukan Yaman, bukan sekadar bantuan kemanusiaan. – AFP, 29 Mac, 2018.
Komen