Setelah 6 tahun, Malala pulang ke Pakistan


Malala Yousafzai menjadi simbol perjuangan pendidikan wanita dan remaja perempuan setelah ditembak di kepala oleh Taliban pada 2012. Beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 2014 dan mengadakan lawatan pertamanya ke Pakistan hari ini. – Gambar AFP, 29 Mac, 2018.

PEMENANG Hadiah Nobel Keamanan Malala Yousafzai pulang ke Pakistan hari ini, kata pegawai, dalam lawatan pertamanya ke negara tumpah darahnya sejak beliau ditembak di kepala oleh Taliban kerana memperjuangkan pendidikan untuk anak gadis pada 2012.

Perincian lawatannya “dirahsiakan kerana sensitiviti lawatan”, kata seorang pegawai kerajaan mengenai lawatan itu yang dijangka berlaku selama empat hari termasuklah pertemuan dengan Perdana Menteri Shahid Khaqan Abbasi.

Ditemani kedua ibu bapanya, Malala yang berusia 20 tahun diiring keluar dengan kawalan ketat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto di Islamabad, menurut gambar yang disiarkan media tempatan.

Malala menjadi simbol global perjuangan hak asasi dan pejuang utama pendidikan wanita setelah seorang lelaki bersenjata menaiki bas sekolahnya di Lembah Swat pada 9 Oktober 2012, bertanyakan “Siapa Malala?” dan menembaknya.

Beliau dirawat di Birmingham, Britain dan tinggal di negara itu untuk menyempurnakan pendidikannya.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan pada 2014 itu terus berjuang untuk pendidikan wanita dan remaja perempuan seluruh dunia dan kini sedang menyambung pengajian di Universiti Oxford. – AFP, 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen