MAHKAMAH Iran menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kepada pengarah filem terkemuka Saeed Roustaee kerana tayangan filemnya “Leila’s Brothers” di Festival Filem Cannes tahun lepas, lapor media tempatan pada Selasa.
“Leila’s Brothers”, sebuah kisah yang kompleks mengenai sebuah keluarga yang bergelut dengan kesusahan ekonomi di Tehran, diharamkan di Iran sejak dikeluarkan tahun lalu.
Filem itu bersaing untuk Palme d’Or pada festival Cannes tahun lepas. Ia terlepas hadiah utama tetapi memenangi anugerah Persekutuan Pengkritik Filem Antarabangsa (FIPRESCI).
Pada Selasa, akhbar reformis Etemad berkata Roustaee, bersama penerbit filem Javad Noruzbegi, “dihukum penjara enam bulan kerana menayangkan filem itu di Festival Filem Cannes”.
Roustaee dan Noruzbegi didapati bersalah kerana “menyumbang kepada propaganda pembangkang terhadap sistem Islam.”
“Leila’s Brothers” diharamkan selepas ia “melanggar peraturan dengan menyertai festival filem antarabangsa tanpa kebenaran,” dan pengarah itu enggan “membetulkannya” seperti diminta oleh kementerian kebudayaan, kata media rasmi pada masa itu.
Pembuat filem itu hanya akan menjalani satu perdua puluh daripada hukuman mereka, kira-kira sembilan hari, manakala selebihnya akan dijadikan hukuman percubaan selama 5 tahun, menurut Etemad, yang menambah keputusan itu boleh dirayu.
Dalam tempoh penggantungan itu, defendan dikehendaki mengikuti kursus pembuatan filem sambil “memelihara kepentingan nasional dan etika” dan mengelak daripada bergaul dengan profesional pengkarya lain, kata akhbar itu.
Roustaee, 34, terkenal di persada antarabangsa sejak tayangan filemnya “Just 6.5” pada 2019, pandangan tanpa kompromi terhadap masalah dadah Iran dan tindak balas polis yang kejam dan tidak membuahkan hasil.
Iran sekian lama mempunyai karya filem yang membanggakan, dengan tokoh seperti Jafar Panahi dan Asghar Farhadi merangkul anugerah di seluruh dunia. – AFP, 16 Ogos, 2023.
Komen