BNM cadang 3 pegawai tertinggi 1MDB didakwa, kata saksi


Bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz berkata permintaan mendakwa 3 pegawai tertinggi 1MDB dibuat kepada peguam negara namun tiada tindakan diambil terhadap mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2023.

BUAT pertama kalinya, bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memaklumkan Mahkamah Tinggi yang bank pusat itu mengesyorkan tiga pegawai tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa berhubung skandal yang menyelubungi syarikat itu.

Mereka ialah ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika itu Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee.

Zeti, 76, berkata permintaan beliau (untuk mendakwa mereka) dibuat kepada Peguam Negara (Mohamed Apandi Ali) namun tiada tindakan diambil terhadap ketiga-tiga individu.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam utama Najib Razak iaitu Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes bekas perdana menteri tersebut yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Bulan lepas, Zeti memberi keterangan yang kertas siasatan (IP) yang dikemukakan oleh BNM kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor agar pendakwaan jenayah dimulakan dan beberapa pegawai kanan 1MDB didakwa diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Zeti berkata meskipun semua bukti kukuh dikumpul dan direkodkan oleh BNM dalam (IP) berkaitan kes 1MDB, Apandi, atas sebab-sebab yang tidak diketahui pada 11 September 2015, memutuskan IP yang dikemukakan oleh bank pusat itu diklasifikasikan sebagai NFA.

Ketika disoal Shafee sama ada Zeti pernah menyaksikan sebarang peranan yang dimainkan oleh Najib dalam pembayaran wang sebanyak AS$1 bilion kepada syarikat usaha sama 1MDB-Petrosaudi kepada entiti yang salah, beliau berkata peranan bekas perdana menteri itu adalah mengemukakan jaminan kepada Kabinet untuk kelulusan.

“Itu adalah antara sebab BNM meluluskan pembayaran tersebut. Lembaga Pengarah 1MDB meluluskannya, Kabinet meluluskannya. Beliau (Najib) menjamin pelaburan itu. 1MDB sebagai syarikat yang 100% milik Kementerian Kewangan (MOF), tiada sebab untuk BNM tidak meluluskannya,” kata beliau.

Shafee: Awak tidak mencadangkan Najib melakukannya dengan niat yang tidak baik? Zeti menjawab “ternyata, pelaburan sedemikian tidak wujud”.

Shafee: Tetapi siapa yang memberikan semua maklumat mengenai pelaburan itu kepada Najib?

Zeti: Ini adalah syarikat yang 100% milik MOF.

Gabenor bank pusat itu juga berkata memandangkan Najib memegang jawatan eksekutif sebagai pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB (CBOA), beliau sepatutnya tahu mengenai jenis pelaburan yang sepatutnya dilakukan.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama, 15 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen