Warisan seni persembahan Muqam terus mekar di Xinjiang


Seni persembahan Muqam merupakan seni turun temurun masyarakat Uyghur di Xinjiang, China. – Gambar Youtube, 15 Ogos, 2023.

MUQAM, iaitu seni persembahan turun temurun di Xinjiang, merupakan sejarah dan gaya hidup penduduk etnik Uygur.

Ia juga satu platform bagi masyarakat Uygur untuk menzahirkan perasaan dan idea.

Obultalip Musa, 69, antara pewaris Muqam di kaunti Marabishi, Xinjiang yang gigih berjuang untuk memastikan seni persembahan itu tidak hilang ditelan zaman.

“Apabila pemain-pemain lama sudah tiada, Muqam Uygur dikhuatiri akan hilang.

“Saya mempunyai keazaman kuat untuk belajar bermain alat muzik ini, dan ia menjadi minat saya. Saya tidak mahu ia pupus, itulah sebabnya saya mula mempelajari Muqam,” katanya.

Obultalip berkata pada awalnya beliau bermain tamburi di sekolah pada tahun 1970 dan selepas tamat persekolahan, beliau aktif bermain ketika berehat selepas berkebun atau  bersantai bersama jiran.

Beliau mula menganggotai kumpulan muzik itu sejak 2012 bersama-sama dengan komuniti desa yang lain.

Meskipun sudah bergelar warga emas dan tidak cergas seperti zaman mudanya, Obultalip masih mengimpikan untuk terus mempertahankan seni budaya itu.

Tanpa putus asa, beliau sanggup berjalan beribu langkah untuk menghimpunkan semula ahli kumpulan muzik dan membuat persembahan.

Obultalip juga tidak lokek ilmu untuk mengajar berkenaan tradisi itu dan tidak mahu ia ditelan zaman.

Turut berkongsi misi yang sama adalah pemilik generasi kelima kedai muzik Uygur iaitu Muhammad Emin Ababakri yang menjual alat muzik seperti Rawap, dutar dan qanun yang sering menjadi instrumen muzik Uygur.

Ahat Tohti, artis Dolan Muqam, pula memperkenal dan mewarisi bakat bermain alat muzik kepada lima daripada 13 cucunya.

“Seorang bermain rawap, empat lagi tamburi, tapi tiada antara mereka yang boleh bernyanyi.

“Liriknya terlalu panjang dan rumit, jadi saya sedang mengajar mereka tentang lirik,” katanya.

Malah, untuk memberi galakan kepada orang ramai, Ahat turut merubah wajah kediamannya menjadi tempat bagi mempelajari, menikmati dan merasai sendiri keindahan warisan seni itu. – Bernama, 15 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen