Pendaki maut terjatuh di banjaran Alps


Seorang pendaki berusia 34 tahun meninggal dunia selepas disyaki terjatuh dari ketinggian 150m di banjaran Alps Jerman berhampiran Berchtesgaden. – Gambar fail AFP, 15 Ogos, 2023.

SEORANG pendaki berusia 34 tahun disyaki terjatuh dari ketinggian 150 meter (m) di banjaran Alps Jerman berhampiran Berchtesgaden dan meninggal dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut polis, mangsa dipercayai mengikuti laluan yang sering ditanda pada peta telefon bimbit tetapi sebenarnya tidak wujud.

Di kawasan “berbatu dan berumput, lelaki itu mungkin tergelincir dan kemudian jatuh di atas batu sekurang-kurangnya 150m,” menurut kenyataan itu. Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Lelaki dari bandar barat Siegen di negeri North Rhine Westphalia itu belum pulang dari pendakian ke puncak Hoher Laafeld pada Sabtu. Atas sebab itu, pemilik tanah menghubungi polis pada Ahad.

Bersama pasukan penyelamat gunung, mereka menemui mayat lelaki yang hilang itu pada ketinggian 1,880m dari paras laut. – Bernama, 15 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen