Juri AS dakwa Trump dalam siasatan pilihan raya 2020


Bekas presiden AS Donald Trump didakwa di Georgia selepas siasatan oleh Peguam Daerah Fulton County, Fani Willis mengenai usahanya membatalkan keputusan pilihan raya presiden pada 2020. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2023.

BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump didakwa di Georgia selepas siasatan oleh Peguam Daerah Fulton County, Fani Willis mengenai usahanya untuk membatalkan keputusan pilihan raya presiden pada 2020.

Seramai 18 individu lain juga didakwa, termasuk peguam peribadi Trump, Rudolph Giuliani dan Sidney Powell.

Willis melancarkan siasatan pada Februari 2021 selepas berita bekas presiden itu membuat panggilan telefon pada 2 Januari, 2021 mendesak Setiausaha Negeri Georgia Brad Raffensperger untuk “mencari” 11,780 undi bagi memenangi Georgia.

Trump mendakwa panggilan itu adalah wajar.

Siasatan ini juga memberi tumpuan kepada rancangan mengumpulkan pengundi palsu secara sulit di Capitol untuk memberi undi kepada Trump.

Satu juri khas yang mendengar hujah dalam kes ini selama kira-kira tujuh bulan mengarahkan lebih 12 individu didakwa,  lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Willis, seorang ahli Demokrat, dikatakan memberi tumpuan untuk mendakwa Trump dan rakan-rakannya di bawah Akta Pertubuhan Penipuan dan Pengaruh Georgia, membenarkannya untuk mendakwa lebih banyak individu dalam rancangan jenayah yang mungkin melibatkan pelbagai aspek.

Hampir 20 individu dimaklumkan mereka mungkin akan dihadapkan ke mahkamah dalam siasatan ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan ketika kempen beliau, Trump mendakwa Willis menunggu untuk membuat pertuduhan supaya ia akan memberi kesan kepada kempen presiden 2024. – Bernama, 15 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen