Polis sahkan SPRM mohon masukkan nama menantu Muhyiddin senarai notis merah


Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata permohonan menyenaraikan Muhammad Adlan Berhan dalam notis merah diterima secara lisan daripada SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2023.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyenaraikan nama menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dalam notis merah Interpol berkaitan siasatan dakwaan rasuah.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata permohonan untuk menyenaraikan Muhammad Adlan Berhan, 48, dalam notis merah berkenaan diterima secara lisan daripada SPRM.

Bercakap kepada sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman hari ini, beliau berkata PDRM dan SPRM akan bekerjasama dalam kes berkenaan.

“Sekiranya ada maklumat tambahan (notis merah interpol) saya akan memaklumkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 9 Ogos lepas SPRM memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu, termasuk menantu Muhyiddin, ke dalam senarai notis merah jika gagal tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini dilapor berkata Adlan dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan dakwaan kes rasuah dan penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian. – Bernama, 15 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen