Darurat diisytihar di kawasan banjir di Russia


Darurat serantau diisytiharkan di wilayah Primorsky di timur Russia akibat kejadian banjir besar, umum Gabenor Oleg Kozhemyako. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2023.

GABENOR Oleg Kozhemyako mengisytiharkan darurat serantau di wilayah Primorsky di timur Russia akibat kejadian banjir besar, lapor Xinhua.

“Langkah kecemasan serantau sedang diperkenalkan di Primorye bagi meningkatkan langkah sokongan untuk penduduk yang terjejas akibat banjir,” kata gabenor itu dalam mesej video di laman sosialnya.

Banjir yang dicetuskan hujan lebat akibat Taufan Khanun membawa bencana di Primorye. Beberapa majlis perbandaran di wilayah ini mengisytiharkan darurat sejak beberapa hari lalu.

Menurut pusat wilayah Kementerian Pertahanan Awam dan Situasi Kecemasan, jumlah kediaman yang ditenggelami air telah meningkat kepada 4,620 manakala lebih 2,500 individu dipindahkan berikutan keadaan yang teruk.

Kozhemyako menekankan kecemasan serantau memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menguruskan krisis secara berkesan, serta meminta bantuan persekutuan. – Bernama, 15 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen