PEJABAT Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa ketika menjadi perdana menteri kelapan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata rayuan akan difailkan pada petang ini dan akan mohon penangguhan kes pengubahan wang haram dihadapi Muhyiddin di Mahkamah Sesyen sementara menunggu proses rayuan kes rasuah itu di Mahkamah Rayuan.
“Buat masa ini kami menerima keputusan Hakim Muhammad Jamil Hussin, namun akan memfailkan rayuan pada petang ini,” katanya kepada media selepas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.
Pagi ini hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.
Hakim Jamil dalam keputusannya berkata pertuduhan terhadap Muhyiddin tidak cukup kuat kerana ia tidak mendedahkan kesalahan di bawak Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – 15 Ogos, 2023.
Komen