Junta Niger mahu dakwa bekas presiden kerana 'khianat'


Junta tentera di Niger mahu mendakwa bekas presiden Mohamed Bazoum kerana pengkhianatan yang didakwa menjejaskan keselamatan dalaman dan luaran negara itu. – Gambar fail AFP, 14 Ogos, 2023.

JUNTA tentera di Niger mahu mendakwa bekas presiden Mohamed Bazoum kerana “pengkhianatan” yang didakwa menjejaskan “keselamatan dalaman dan luaran” negara itu.

Pengumuman ini dibuat jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Melindungi Negara (CNSP), Kol Amadou Abdramane dalam satu kenyataan.

Kerajaan Niger mengumpul bukti yang mencukupi untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap presiden yang digulingkan, serta beberapa individu tempatan dan asing yang disyaki bersubahat.

“Kenyataan itu juga menyatakan kebimbangan junta mengenai tindakan pihak pelobi politik Afrika Barat tertentu yang menyebarkan maklumat palsu tentang “kerajaan peralihan itu,” lapor Agensi Anadolu yang memetik kenyataan itu.

Junta juga menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap masyarakat antarabangsa yang menunjukkan solidariti terhadap “pegawai kerajaan yang digulingkan,” itu.

Pada 26 Julai, sekumpulan anggota tentera mengambil alih televisyen negara Niger dan mengisytiharkan penahanan Bazoum atas alasan bimbangkan keselamatan negara yang semakin merosot selain isu tadbir urus.

Bazoum yang memegang jawatan presiden melalui pilihan raya demokrasi pada 2021, merupakan ketua negara pertama dalam peralihan kuasa aman Niger sejak memperoleh kemerdekaan daripada penjajahan Perancis pada 1960. – Bernama, 14 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen