Zahid tidak perlu letak jawatan, kata Puad Zarkashi


Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pihaktertentu tidak seharusnya mendesak Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan kerana ia bukan penyelesaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2023.

PIHAK tertentu tidak seharusnya mendesak Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan kerana ia bukan penyelesaian, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.

Puad berkata apa yang penting sekarang ialah Umno dan BN mendapatkan kembali sokongan orang Melayu.

“Menteri Menteri Umno mesti serious menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.

“Sebab itu Umno mesti kekal dalam kerajaan perpaduan. PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama. Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Beliau juga berkata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin bersikap angkuh apabila meminta Zahid yang juga presiden Umno meletakkan jawatan.

“Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor dia tidak letak jawatan. Dia kekal Presiden Bersatu sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya.

Zahid digesa untuk bertanggungjawab dan meletak jawatan berikutan kekalahan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lepas. Umno yang bertanding di semua kerusi BN hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ditandinginya.

Selepas PRN Muhyiddin berkata kekalahan itu membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan bukan Melayu terhadap “gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu” yang diketuai Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dan Zahid yang juga timbalan perdana menteri.

“Anwar dan Zahid yang mengetuai gabungan ini mesti bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta-merta,” kata Muhyiddin.

Semalam veteran Umno Idris Jusoh menggesa Zahid berundur berikutan prestasi buruk parti itu dalam PRN.

“Umno kalah teruk dalam pilihan raya negeri, kehilangan 100% kerusi di Terengganu.

“Zahid Hamidi mesti letak jawatan,” tulisnya di Facebook. – 14 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen