UAE nafi hantar senjata ke perang Sudan


Konflik selama empat bulan di Sudan menyebabkan hampir empat juta penduduk negara itu kehilangan tempat tinggal, menurut angka PBB. – Gambar AFP, 14 Ogos, 2023.

UAE Ahad menafikan laporan yang mendakwa senjata ditemui dalam penghantaran bantuannya kepada pelarian perang Sudan dengan alasan ia “tidak memihak” dalam konflik itu.

Pertempuran sejak 15 April antara tentera saingan jeneral Sudan yang berebut kuasa membunuh sekurang-kurangnya 3,900 orang, menurut anggaran konservatif oleh Projek Data Lokasi Konflik Bersenjata & Peristiwa.

Pemerhati berkata kedua-dua ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo yang memerintah Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera disokong oleh kuasa asing dengan negara jiran Mesir menyokong Burhan dan UAE memberikan sokongan untuk Daglo.

Dalam satu kenyataan semalam pengarah komunikasi kementerian luar UAE Afra Al Hameli berkata UAE tidak membekalkan senjata dan peluru kepada mana-mana pihak yang bertelagah di Sudan sejak tercetusnya konflik.

Laporan pada Khamis oleh penerbitan AS Wall Street Journal memetik pegawai di Uganda yang berkata mereka menemui senjata dalam penerbangan bantuan Emirati kepada pelarian Sudan di Chad pada 2 Jun.

“UAE tidak memihak dalam konflik semasa yang melanda Sudan, dan berusaha menamatkan konflik dan menyeru untuk menghormati kedaulatan Sudan.”

Menurut Wall Street Journal, “daripada bekalan makanan dan perubatan yang disenaraikan dalam pesawat, pegawai Uganda berkata mereka menemui berpuluh-puluh peti plastik hijau di kargo pesawat yang dipenuhi dengan peluru, senapang serangan dan senjata kecil lain”.

Pegawai Uganda memberitahu akhbar bahawa pesawat Emirati yang berhenti di Entebbe dalam perjalanan ke destinasi terakhirnya “dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Amdjarass di timur Chad”.

Pegawai kemudiannya “menerima arahan daripada pihak atasan mereka untuk berhenti memeriksa penerbangan yang berhenti dari UAE”, menurut laporan itu.

Konflik selama empat bulan di Sudan menyebabkan hampir empat juta penduduk negara itu kehilangan tempat tinggal, menurut angka PBB.

Sejak pertempuran meletus, UAE yang kaya dengan hasil minyak menghantar bantuan termasuk ubat-ubatan dan juga membantu memindahkan warga asing, kata agensi berita rasmi WAM. – Gambar AFP, 14 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen