Sanusi angkat sumpah MB Kedah esok


Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor berucap pada majlis Himpunan Mandat Rakyat di Alor Setar malam ini. – Gambar Facebook Muhammad Sanusi Md Nor, 13 Ogos, 2023.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah esok.

Sanusi, 49, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, beliau akan melafaz sumpah memegang jawatan itu di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada jam 10 pagi.

“Esok saya akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Anak Bukit 10 pagi,” katanya ketika berucap pada program Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar malam ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu, PN mencipta kejayaan besar apabila memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah mempertahankan kerusi DUN Jeneri selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Muhamad Khizri Abu Kassim dengan majoriti 16,050 undi.

Beliau juga sebelum ini Menteri Besar Kedah ke-14 yang dilantik dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 17 Mei 2020 selepas mendapat sokongan majoriti Adun ketika itu. – Bernama, 13 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen