4 parti politik sokong Prabowo pilihan raya presiden Indonesia 2024


Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto mendapat sokongan Parti Gerindra, PKB, Golkar dan PAN bagi pilihan raya presiden tahun depan. – Gambar fail AFP, 13 Ogos, 2023.

EMPAT parti politik secara rasmi mengisytiharkan sokongan mereka terhadap Prabowo Subianto sebagai calon bagi pilihan raya presiden Indonesia 2024.

Pengumuman itu dilakukan di Jakarta hari ini dengan Parti Gerindra bersama Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Golkar dan Parti Amanat Nasional (PAN).

Prabowo yang memimpin Parti Gerindra dan juga sebagai Menteri Pertahanan, berpendapat penyertaan Parti Golkar dan PAN sebagai faktor yang akan mengukuhkan pencalonannya dalam pilihan raya akan datang.

“Saya mendapat kepercayaan dan tanggungjawab tambahan daripada Parti Golkar dan PAN. Setahun yang lalu, PKB juga menyatakan sokongan mereka terhadap saya sebagai calon presiden,” katanya.

Beliau menekankan kerjasama dengan parti itu berasaskan komitmen bersama bagi memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat Indonesia dan kedaulatan negara.

Ketua Umum PKB, Muhaimin Iskandar, Ketua Umum Golkar, Airlangga Hartarto, yang juga Menteri Koordinasi Urusan Ekonomi semasa serta Ketua Umum PAN yang juga Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan, turut hadir dalam acara itu.

Prabowo sebelum ini bertanding jawatan presiden pada 2014 dan 2019, tetapi tewas kepada Joko Widodo dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan. – Bernama, 13 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen