Korea-AS-Jepun adakan sidang kemuncak keselamatan


Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol (kanan) akan berlepas ke Camp David pada Khamis untuk mengadakan pertemuan tiga hala dengan Presiden Joe Biden (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengenai keselamatan. – Gambar EPA, 13 Ogos, 2022.

PERTEMUAN tiga hala antara Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida minggu ini dijangka membawa kepada penubuhan “kerangka utama” bagi kerjasama keselamatan di antara ketiga-tiga negara.

Yoon dijadual berlepas pada Khamis untuk menghadiri pertemuan di Camp David, berhampiran Washington pada hari berikutnya, lapor agensi berita Yonhap memetik Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Kim Tae Hyo semasa taklimat media pada Ahad.

Perbincangan juga sedang berjalan bagi pertemuan antara Korea Selatan dan AS serta antara Korea Selatan dan Jepun di sisi pertemuan itu.

“Melalui pertemuan ini, kami akan dapat mencipta satu kerangka utama bagi kerjasama keselamatan tiga hala antara Korea Selatan, AS dan Jepun,” kata Kim.

Kim berkata pertemuan itu juga akan membantu memperkukuh kerjasama keselamatan tiga hala untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini bagi menghadapi ancaman bersama, dengan perbincangan mendalam mengenai langkah kerjasama praktikal untuk menangani ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Selain itu, ketiga-tiga pemimpin itu akan membincangkan kerjasama bagi kemakmuran serantau bersama dan pertumbuhan masa depan, termasuk membabitkan penggunaan teknologi terkini dan mengukuhkan perkongsian untuk menangani isu keselamatan ekonomi, seperti risiko rantaian bekalan dan tenaga.

Kim berkata pertemuan itu akan berfungsi sebagai “paksi” dalam usaha ketiga-tiga negara itu untuk mencapai kebebasan, keamanan dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.

“Menerusi pertemuan tiga hala Korea Selatan-AS-Jepun yang akan datang, Camp David akan merakam detik bersejarah diplomatik abad ke-21 mengenai kerjasama tiga hala,” kata Kim. – Bernama, 13 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen