Agensi audit Korea Selatan siasat jambori pengakap


Pengakap Britain bersiap sedia untuk meninggalkan tapak jambori di kawasan Saemangeum di pantai barat daya Korea Selatan akibat gelombang panas terik minggu lalu. – Gambar Twitter Yonhap News, 13 Ogos, 2023.

AGENSI audit Korea Selatan dijangka melancarkan pemeriksaan seawal minggu ini terhadap mereka yang bertanggungjawab susulan pengurusan lemah ketika jambori pengakap sedunia 2023.

Lembaga audit dan pemeriksaan memulakan persiapan untuk memeriksa jawatankuasa penganjur, kerajaan wilayah Jeolla Utara, serta kementerian dalam negeri dan kesaksamaan jantina selepas berakhirnya acara itu pada Sabtu, lapor agensi berita Yonhap.

Jambori pengakap dari 1 hingga 12 Ogos di tapak perkhemahan di Saemangeum, menerima kritikan hebat kerana tidak mempunyai kemudahan untuk menempatkan kira-kira 40,000 peserta dari seluruh dunia semasa gelombang haba pada awal bulan ini.

Peserta kemudiannya dipindahkan ke beberapa bandar di seluruh negara bagi menyelamatkan diri dari taufan yang bakal melanda.

Lembaga audit itu mengumumkan pelancaran pemeriksaan sebaik sahaja bilangan pemeriksa ditetapkan.

Ia dijangka merangkumi aspek bagaimana Saemangeum dipilih sebagai tuan rumah acara itu, bagaimana infrastruktur yang diperlukan dibina, operasi jawatankuasa penganjur dan butiran di mana bajet sebanyak 100 bilion won (AS$75 juta) untuk jambori pengakap itu dibelanjakan. – Bernama, 13 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen