EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) menduduki tempat pertama dalam kalangan negara yang menggaji warga India, Menteri Negara Hal Ehwal Luar, V Muraleedharan memberitahu Lok Sabha, Dewan Parlimen India.
Bilangan warga India yang bekerja di UAE kini mencecah 3.55 juta, lapor agensi berita Emiriah (WAM).
Jumlah itu meningkat daripada 3.41 juta sebelumnya, menjadikan UAE destinasi paling popular bagi kaum India yang mencari pekerjaan di luar negara.
Muraleedharan juga menyatakan lima negara Teluk - UAE, Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Oman adalah destinasi utama yang menyediakan pekerjaan untuk masyarakat India, dengan jumlah kolektif 7.93 juta orang.
Kerajaan India menubuhkan pusat bantuan India luar negara di Dubai, Riyadh, Jeddah dan Kuala Lumpur untuk memberi bimbingan dan kaunseling kepada pekerja India di luar negara supaya mereka boleh menjadi contoh penduduk ekspatriat di negara berkenaan. – Bernama, 13 Ogos, 2023.
Komen